Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan hidup sihat sebagai
keadaan fizikal, minda dan sosial yang sihat, cergas serta bebas
daripada sebarang penyakit. Selain mengamalkan diet pemakanan sihat,
aktiviti fizikal juga perlu diamalkan untuk mendapatkan tahap kesihatan
optimum.
Ramai kalangan kita yang terbatas waktu untuk melakukan aktiviti
sihat setiap hari.
Justeru, waktu hujung minggu perlu dimanfaatkan
sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti sihat agar tubuh dapat
mengeluarkan peluh, sekali gus merangsang organ dalaman agar dapat
berfungsi dengan lebih baik.
Berikut ialah tujuh aktiviti sihat yang anda dapat lakukan pada hujung minggu.
1. Berenang
Berenang adalah satu aktiviti yang amat bagus untuk kesihatan.
Aktiviti renang dapat membentuk dan menguatkan otot badan. Hasil kajian
menunjukkan seseorang yang menjalani latihan intensif renang selama
lapan minggu berturut-turut akan mengalami peningkatan otot trisep
sebanyak 23.8 peratus. Otot trisep ialah otot tangan bahagian belakang.
Selain itu, berenang membantu meningkatkan fungsi jantung. Menurut
kajian Columbia University Medical Center, aktiviti berenang dapat
mengelakkan risiko penyakit jantung koroner.
|Malah lebih daripada itu, aktiviti berenang juga dapat mengurangkan
stres yang menjadi antara punca senyap peningkatan penyakit fizikal.
Ada banyak kolam renang awam yang anda boleh manfaatkan untuk
berenang. Antaranya ialah di Putrajaya, Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia (HUKM), Universiti Malaya (UM) dan Selayang. Ada kolam percuma
dan ada berbayar. Malah ada juga kolam yang diasingkan di antara lelaki
dan wanita.
Bagi anda yang tinggal di kondominium, pastinya kemudahan kolam
renang sentiasa ada buat anda sekeluarga. Namun, anda juga boleh
bertukar angin dengan bermalam di hotel yang ada kemudahan kolam renang.
Sambil bercuti bersama keluarga, anda boleh melakukan aktiviti sihat
ini pada hujung minggu.
2. Berbasikal
Terlalu banyak kebaikan aktiviti berbasikal. Antaranya ialah
meningkatkan penggunaan kalori dan kadar metabolisme badan. Ia juga
dapat membantu anda mengurangkan berat badan.
Aktiviti berbasikal juga dapat mengurangkan risiko serangan arthritis
dan pembengkakan sendi. Ini kerana gerakan berbasikal berupaya
menyihatkan otot dan sendi kaki serta menguatkan tulang rawan.
Berbasikal tidak memerlukan kemahiran khas seperti berenang. Malah,
aktiviti berbasikal boleh dilakukan oleh hampir kebanyakan orang.
Jika anda mempunyai basikal, anda boleh berbasikal di sekitar taman
perumahan anda sendiri. Bagi yang berkeluarga dan tinggal di Lembah
Klang, anda boleh ke Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Titiwangsa
dan Taman Saujana Hijau Putrajaya. Di sana ada perkhidmatan menyewa
basikal.
Lakukanlah. Tidak perlu dalam keadaan stres, sebaliknya aktiviti ini boleh dilakukan dalam keadaan santai dan rileks sahaja.
3. Mendaki
Mendaki pula dapat membantu anda menguatkan stamina dan daya tahan
badan. Selain itu, ia meningkatkan kapasiti kerja jantung dan paru-paru.
Aktiviti fizikal ini menjadikan jantung dan paru-paru perlu bekerja
keras untuk memberikan tenaga kepada tubuh. Ini kerana aktiviti mendaki memerlukan tenaga yang banyak.
Namun, tidak semestinya anda perlu mendaki gunung tinggi seperti
Gunung Kinabalu. Anda juga tidak perlu melakukan persiapan untuk
aktiviti pendakian yang komprehensif.
Cukup sekadar mendaki bukit landai di kawasan kejiranan anda, jika
ada.
Jika di Lembah Klang, antaranya ialah Bukit Broga, Bukit Saga dan
Bukit Gasing. Anak-anak juga boleh dibawa sekali ketika aktiviti
mendaki. Mereka pasti teruja melihat pemandangan yang sangat cantik
ketika matahari terbit pagi.
4. Berlari
Aktiviti berlari juga bagus diamalkan untuk mengekalkan kesihatan
anda. Antara kebaikan aktiviti berlari adalah dapat menguatkan otot,
mengurangkan berat badan serta menguatkan paru-paru. Malah aktiviti
berlari dapat memberikan anda tidur nyenyak. Kajian Northwestern
Medicine mendapati aktiviti berlari dapat menyembuhkan insomnia.
Anda boleh melakukan aktiviti berlari di sekitar taman perumahan anda
sendiri bersama keluarga. Sekali-sekala, anda juga boleh menyertai
aktiviti larian seperti maraton yang sering dianjurkan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO).
5. Menari
Banyak kebaikan yang boleh didapati daripada aktiviti menari.
Antaranya meningkatkan tenaga dan menguatkan jantung. Paling
istimewanya, menari dapat mengurangkan risiko depresi dan demensia atau
alzheimer seperti yang dinyatakan di dalam New England Journal of
Medicine.
Bagaimanapun, tidak semestinya perlu mendaftar kelas tarian. Anda
boleh lakukan aktiviti menari ini hanya di hadapan televisyen di dalam
rumah. Contohnya, buka sahaja video Youtube berkenaan tarian zumba dan
senaman aerobik, anda sudah boleh mulakan aktiviti menari bersama
anak-anak di rumah.
6. Mengemas Rumah
Mengemas rumah adalah aktviti sihat yang wajib dilakukan oleh setiap
keluarga. Bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, aktiviti ini mendidik
kebijaksanaan dalam pengagihan tugas dan melatih anak-anak memikul
tanggungjawab.
Banyak aktiviti dapat dilakukan setiap ahli keluarga.
Antaranya
mengelap lantai, mencuci bilik air, membasuh kereta dan berkebun di
halaman rumah. Apabila rumah bersih dan kemas, ahli rumah juga akan
berasa tenang dan gembira.
Pada masa sama, kesihatan juga dapat dikekalkan dan ditingkatkan!
7. Membeli belah
Bunyinya sedikit kelakar. Membeli belah boleh menyihatkan?
Jangan mudah membuat kesimpulan. Jangan terkejut. Membeli belah di
pasar raya atau pusat membeli belah pada hujung minggu juga sejenis
aktiviti sihat dengan syarat “poket anda memang sudah sedia sihat”.
Ini kerana aktiviti membeli belah akan menyebabkan anda terpaksa
berjalan dan bergerak sekeliling bangunan pusat membeli belah. Walaupun
nampak seperti aktiviti ringkas, berjalan kaki sangat bagus untuk
kesihatan. Antara kebaikannya ialah mengurangkan risiko strok, diabetes
dan membantu mengurangkan berat badan.
Pusat beli-belah boleh didapati di merata tempat. Pergilah, dan bawa
keluarga anda pada hujung minggu. Aktiviti ini memang ideal untuk
dilakukan pada setiap hujung minggu sambil bersantai bersama orang
tersayang.
Bagi wanita, selain berjalan kaki, aktiviti membeli belah adalah satu
daripada terapi minda. Tidak dapat belipun tidak mengapa, asalkan dapat
‘window shopping’. Semestinya, hanya wanita yang memahami perkara ini.
Tidak susah sebenarnya untuk kekal sihat. Ia sesuatu yang dapat diusahakan, terutama sekali pada hujung minggu.
Dan, paling penting, anda perlu melakukannya dalam keadaan tidak
tertekan atau penat. Semua aktiviti yang disenaraikan di atas boleh
dilakukan dalam keadaan santai dan bersahaja. Lakukan demi kesihatan
fizikal dan kesejahteraan hidup.
Mudahnya Aafiyat.
Ramai orang beranggapan buah kurma hanyalah makanan untuk bulan puasa
sahaja. Tahukah anda?, sebenarnya banyak manfaat kurma jika ianya
dijadikan makanan harian kita. Sebelum kami ceritakan kehebatan kurma
ini terlebih dahulu kita kenal sedikit asal-usul buah kurma.
Kurma adalah buah yang biasanya berbentuk lonjong didapati dari pohon
kurma. Ianya Terdapat pelbagai bentuk, warna dan rupa mengikut jenis
dan spesis pohon kurma. Antara kurma yang paling diminati adalah ajwah,
medjoul, mabroom dan banyak lagi. Buah kurma biasanya didapati dalam
bentuk buah kering dan ada juga bentuk buah segar. Rasa buah kurma yang
telah dikeringkan adalah lebih manis berbanding buah segar.
Kurma telah menjadi makanan ruji di Timur Tengah dan Lembah Indus
selama ribuan tahun. Jumlah pengeluaran tahunan dunia berjumlah 8.5 juta
tan metrik, di mana negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara menjadi
pengeluar terbesar.
Di Malaysia, kita akan mula lihat kurma mula dijual sebulan sebelum
ramadhan di rata-rata kedai dan pasaraya, namun ramai sebenarnya
dikalangan kita masih belum mengerti manfaat kurma selain faktor
mengambil keberkatan sunnah berbuka dan bersahur dengannya.
Artikel ini akan menerangkan 8 manfaat kurma kepada kesihatan dan
mengapa ianya perlu djadikannya sebagai makanan yang perlu ada dalam
diet seharian kita.
1. Makanan Yang Sangat Menyihatkan
Kajian menunjukkan, kurma mengandungi nilai nutrisi yang sangat hebat.
Dalam bentuk buah kering, kandungan kalori adalah lebih tinggi
berbanding kebanyakan buah segar. Kandungan kalori dalam kurma adalah
serupa dengan buah-buahan kering yang lain, seperti kismis dan buah tin.
Kebanyakan kalori dalam kurma datang dari karbohidrat. Selebihnya
adalah dari jumlah protein yang sangat kecil. Selain dari kalori, kurma
juga mengandungi beberapa vitamin dan mineral yang penting di samping
sera yang tinggi.
Nutrien yang terdapat dalam 100 g hidangan:
- Kalori: 277
- Karbohidrat: 75 gram
- Serat: 7 gram
- Protein: 2 gram
- Kalium (Potassium): 20% daripada RDI
- Magnesium: 14% daripada RDI
- Tembaga (Copper): 18% daripada RDI
- Mangan: 15% daripada RDI
- Besi (Iron): 5% daripada RDI
- Vitamin B6: 12% daripada RDI
Kurma juga tinggi nilai antioksida, yang boleh menyumbang kepada banyak manfaat kesihatan kita.
KESIMPULANNYA:
Kurma adalah makanan yang sangat menyihatkan kerana ia memberikan
sumber tenaga malah hadir dengan serat yang tinggi serta beberapa
vitamin, mineral dan antioksidan.
2. Serat Yang Tinggi
Pengambilan makanan berserat yang mencukupi adalah penting untuk kesihatan kita secara keseluruhan.
Dengan hampir 7 gram serat dalam hidangan 100 gram, pengambilan kurma
dalam diet anda adalah cara terbaik untuk meningkatkan pengambilan
serat.
Serat boleh memberi manfaat kepada sistem pencernaan anda dengan
mencegah sembelit. Ia menggalakkan pergerakan usus yang kerap dengan
menyumbang kepada pembentukan najis.
Dalam satu kajian, 21 orang yang menggunakan 7 biji sehari selama 21
hari mengalami peningkatan dalam kekerapan buang air dan mempunyai
peningkatan yang signifikan dalam pergerakan usus berbanding ketika
mereka tidak memakan kurma.
Tambahan pula, serat dalam kurma boleh memberi manfaat kepada kawalan
gula darah. Serat melambatkan pencernaan dan dapat membantu mencegah
kadar gula darah dari kenaikan terlalu tinggi setelah anda makan.
Atas sebab ini, kurma mempunyai indeks glisemik (GI) rendah, iaitu
skala yang mengukur seberapa cepat gula darah anda meningkat setelah
makan makanan tertentu.
KESIMPULANNYA:
Kurma adalah makanan yang mempunyai serat yang tinggi, yang juga
bermanfaat untuk mencegah sembelit dan mengawal kadar gula dalam darah.
3. Tinggi Nilai Antioksidan Melawan Penyakit Berjangkit
Kurma mengandungi pelbagai antioksidan yang mempunyai beberapa
manfaat kesihatan, termasuk mengurangkan risiko beberapa penyakit.
Antioksidan melindungi sel-sel anda dari radikal bebas, yang
merupakan molekul yang tidak stabil yang boleh menyebabkan reaksi
berbahaya dalam tubuh anda dan membawa kepada penyakit.
Berbanding dengan jenis buah yang serupa, seperti buah tin dan plum kering, kurma mempunyai kandungan antioksidan tertinggi.
Berikut adalah gambaran mengenai tiga antioksidan paling kuat dalam kurma:
- Flavonoid: Flavonoid adalah antioksidan yang kuat yang boleh
membantu mengurangkan keradangan dan telah dikaji berpotensi untuk
mengurangkan risiko kencing manis, penyakit Alzheimer dan jenis kanser
tertentu.
- Karotenoid: Karotenoid terbukti dapat meningkatkan kesihatan jantung
dan juga boleh mengurangkan risiko gangguan yang berkaitan dengan mata,
seperti degenerasi makula.
- Asid fenolik: Dikenali dengan sifat anti-radang, asid fenolik boleh membantu mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung.
KESIMPULANNYA:
Kurma mengandungi beberapa jenis antioksidan yang bermanfaat membantu
mencegah perkembangan penyakit kronik tertentu, seperti penyakit
jantung, kanser, Alzheimer dan diabetes.
4. Boleh Meningkatkan Kesihatan Otak
Pengambilan buah kurma boleh membantu meningkatkan fungsi otak.
Kajian makmal telah mendapati kurma dapat membantu menurunkan penanda
radang, seperti interleukin 6 (IL-6), di dalam otak. Tahap IL-6 yang
tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit neurodegenerative yang lebih
tinggi seperti Alzheimer’s.
Di samping itu, kajian terhadap sekumpulan haiwan telah menunjukkan kurma dapat membantu mengurangkan aktiviti protein beta-amyloid, yang boleh membentuk plak di otak.
Apabila plak mengumpul di dalam salur darah otak, ianya mungkin
mengganggu komunikasi antara sel-sel otak, yang akhirnya boleh membawa
kepada kematian sel otak dan penyakit Alzheimer.
Satu kajian haiwan mendapati bahawa tikus yang diberi makanan
bercampur dengan kurma mempunyai ingatan yang lebih baik dan keupayaan
pembelajaran, serta kurang kelakuan keresahan (anxiety-related),
berbanding dengan yang tidak memakannya.
Potensi sifat pemangkin otak dari kurma telah dikaitkan dengan
kandungan antioksidan yang dikatakan mengurangkan keradangan, termasuk
flavonoid.
KESIMPULANNYA
Kurma mungkin bermanfaat membantu menurunkan keradangan dan
menghalang plak daripada terbentuk di dalam otak, yang mana penting
untuk mencegah penyakit Alzheimer.
5. Memudahkan Proses Bersalin
Kajian mendapati kurma berpotensi untuk memudahkan proses melahirkan bayi.
Pengambilan kurma sepanjang beberapa minggu akhir kehamilan boleh
menggalakkan pembukaan serviks dan mengurangkan meneran semasa bersalin.
Ianya juga boleh membantu mengurangkan tempoh masa proses bersalin.
Dalam satu kajian, 69 wanita yang menggunakan 6 kurma sehari selama 4
minggu sebelum tarikh tamat mereka adalah 20% lebih cenderung untuk
bersalin secara semulajadi dan masa yang pendek di dewan bersalin dari
yang tidak memakannya.
Satu lagi kajian mengenai 154 wanita hamil mendapati bahawa mereka
yang memakan kurma adalah kurang berkemungkinan untuk di ‘induce’
berbanding mereka yang tidak memakannya.
Satu kajian ketiga mendapati keputusan yang sama dalam 91 wanita
hamil yang menggunakan 70-76 gram kurma setiap hari bermula minggu ke-37
kehamilan. Mereka berada dalam buruh aktif selama purata 4 jam lebih
sedikit daripada mereka yang tidak makan kurma.
Manfaat kurma semasa kehamilan dipengaruhi oleh sebatian yang
mengikat reseptor oxytocin dan kelihatan meniru kesan oxytocin dalam
badan. Oxytocin adalah hormon yang menyebabkan kontraksi ketika
bersalin.
Selain itu, kurma mengandungi tanin, yang merupakan sebatian yang
dikatakan membantu memudahkan kontraksi. Ianya juga merupakan sumber
gula dan kalori semulajadi yang baik, yang diperlukan untuk mengekalkan
tahap tenaga semasa proses bersalin.
KESIMPULANNYA
Kurma dikatakan boleh membantu dan memudahkan proses kelahiran bayi apabila dimakan semasa beberapa minggu akhir kehamilan.
6. Pemanis Semulajadi Yang Baik
Kurma mengandungi fruktosa, iaitu sejenis gula semulajadi yang terdapat dalam buah.
Atas sebab ini, kurma sangat manis. Oleh kerana kandungan nutrisinya
dan ntioksida yang tinggi, banyak industry mula menjadikan ia sebagai
pengganti gula putih dalam makanan atau minuman.
Adalah penting untuk diperhatikan bahawa walaupun kurma mengandungi
serat dan nutrien yang tinggi, eloklah kita mengamalkan konsep
bersederhana dalam pemakanan kita. 7 biji sehari adalah jumlah yang
biasa disarankan.
KESIMPULANNYA
Dengan kehadiran serat yang tinggi dan bebeberapa nutrien penting
seperti vitamin , mineral dan antioksida, kurma amat sesuai dijadikan
pemanis semulajadi yang sihat berbanding gula putih.
7. Manfaat Kesihatan Lain
Kurma dikatakan mempunyai beberapa manfaat kesihatan lain yang belum
dikaji secara meluas. Namun merujuk kepada kandungan nutrisinya, ia
noleh dikaitkan dengan manfaat kesihatan lain antaranya:
- Kesihatan tulang: Kurma mengandungi beberapa mineral, termasuk
fosforus, kalium, kalsium dan magnesium. Semua ini telah dikaji mampu
mencegah penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis.
- Kawalan gula darah: Kurma mempunyai dikatakan mampu membantu dengan
peraturan gula darah kerana indeks glisemik rendah, serat dan
antioksidannya. Oleh itu, makan kurma boleh memberi manfaat kepada
pesakit diabetes.
KESIMPULANNYA
Kajian mendapati kurma dikatakan mampu menyumbang kepada kesihatan tulang dan membantu mengawal gula dalam darah.
8. Mudah Dijadikan Makanan Harian
Kurma bukan sahaja patut diamalkan apabila berbuka puasa atau
bersahur, ianya boleh dipelbagaikan seperti menjadikan snek dan kudapan
yang sedap. Seringkali kita lihat ianya dicampurkan bersama buah badam
dan kekacang.
Tekstur kurma yang lembap dan melekit boleh dijadikan sebagai bahan
pengikat dalam makanan yang dibakar, seperti biskut dan kek. Anda juga
boleh jadikan bebola kurma yang berisi badam di dalamnya untuk dijadikan
snek seisi keluarga.
Selain itu anda boleh gunakan kurma apabila menyediakan smoothies,
atau sarapan bersama susu dan oat. Ianya juga boleh dihiris bentuk dadu
dan digaulkan bersama salad atau ulaman tempatan.
Oleh kerana rasanya manis, perlulah kita sentiasa beringat untuk bersederhana dalam pengambilannya.
KESIMPULANNYA
Kerana kurma adalah buah kering, ianya mudah disesuaikan dalam diet
seharian bukan sekadar makan begitu sahaja malah dijadikan salah satu
bahan dalam banyak resepi masakan dan minuman.
Mesej Penting Buat Pembaca
Apa yang dikongsikan mungkin hanya sebahagian daripada banyak
kebaikan kurma. Sememangnya banyak kajian telah dijalankan yang
mengaitkan manfaat daripada khasiat yang terkandung dalam kurma. Apa
yang pentingnya adalah kita memahami akan manfaatnya kepada kesihatan
dan cuba menjadikan pengambilan kurma sebagai makanan harian.
Kandungan
serat, vitamin, mineral, karbohidrat dan juga antioksida di dalamnya
akan membantu tubuh kita mendapat nutrisi yang baik.
Saban tahun gejala kanser di Malaysia menyaksikan jumlah peningkatan
yang ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Namun begitu kesedaran
tentang simptom, punca dan langkah pencegahan kanser di kalangan
masyarakat kita masih di tahap rendah dan memerlukan gerak kerja yang
lebih efektif selari dengan arus modenisasi.
Risiko mendapat kanser dikalangan wanita terbahagi kepada dua iaitu:
- Faktor Individu; di mana lelaki atau perempuan mempunyai risiko yang sama seperti kanser kolorektum
- Reproductive Organ Related Kanser; payudara, ovari, rahim, uterus
Antara faktor utama penyebab kanser di kalangan wanita adalah stress.
Ini selalunya berlaku tanpa mereka sedari oleh kerana terlalu banyak
aktiviti dan perkara yang dilalui dalam kehidupan seharian