Ramai kalangan kita yang terbatas waktu untuk melakukan aktiviti sihat setiap hari.
Justeru, waktu hujung minggu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti sihat agar tubuh dapat mengeluarkan peluh, sekali gus merangsang organ dalaman agar dapat berfungsi dengan lebih baik.
Berikut ialah tujuh aktiviti sihat yang anda dapat lakukan pada hujung minggu.
1. Berenang
Berenang adalah satu aktiviti yang amat bagus untuk kesihatan. Aktiviti renang dapat membentuk dan menguatkan otot badan. Hasil kajian menunjukkan seseorang yang menjalani latihan intensif renang selama lapan minggu berturut-turut akan mengalami peningkatan otot trisep sebanyak 23.8 peratus. Otot trisep ialah otot tangan bahagian belakang.
Selain itu, berenang membantu meningkatkan fungsi jantung. Menurut kajian Columbia University Medical Center, aktiviti berenang dapat mengelakkan risiko penyakit jantung koroner.
|Malah lebih daripada itu, aktiviti berenang juga dapat mengurangkan stres yang menjadi antara punca senyap peningkatan penyakit fizikal.
Ada banyak kolam renang awam yang anda boleh manfaatkan untuk berenang. Antaranya ialah di Putrajaya, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Universiti Malaya (UM) dan Selayang. Ada kolam percuma dan ada berbayar. Malah ada juga kolam yang diasingkan di antara lelaki dan wanita.
Bagi anda yang tinggal di kondominium, pastinya kemudahan kolam renang sentiasa ada buat anda sekeluarga. Namun, anda juga boleh bertukar angin dengan bermalam di hotel yang ada kemudahan kolam renang. Sambil bercuti bersama keluarga, anda boleh melakukan aktiviti sihat ini pada hujung minggu.
2. Berbasikal
Terlalu banyak kebaikan aktiviti berbasikal. Antaranya ialah meningkatkan penggunaan kalori dan kadar metabolisme badan. Ia juga dapat membantu anda mengurangkan berat badan.
Aktiviti berbasikal juga dapat mengurangkan risiko serangan arthritis dan pembengkakan sendi. Ini kerana gerakan berbasikal berupaya menyihatkan otot dan sendi kaki serta menguatkan tulang rawan.
Berbasikal tidak memerlukan kemahiran khas seperti berenang. Malah, aktiviti berbasikal boleh dilakukan oleh hampir kebanyakan orang.
Jika anda mempunyai basikal, anda boleh berbasikal di sekitar taman perumahan anda sendiri. Bagi yang berkeluarga dan tinggal di Lembah Klang, anda boleh ke Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Saujana Hijau Putrajaya. Di sana ada perkhidmatan menyewa basikal.
Lakukanlah. Tidak perlu dalam keadaan stres, sebaliknya aktiviti ini boleh dilakukan dalam keadaan santai dan rileks sahaja.
3. Mendaki
Mendaki pula dapat membantu anda menguatkan stamina dan daya tahan badan. Selain itu, ia meningkatkan kapasiti kerja jantung dan paru-paru. Aktiviti fizikal ini menjadikan jantung dan paru-paru perlu bekerja keras untuk memberikan tenaga kepada tubuh. Ini kerana aktiviti mendaki memerlukan tenaga yang banyak.Namun, tidak semestinya anda perlu mendaki gunung tinggi seperti Gunung Kinabalu. Anda juga tidak perlu melakukan persiapan untuk aktiviti pendakian yang komprehensif.
Cukup sekadar mendaki bukit landai di kawasan kejiranan anda, jika ada.
Jika di Lembah Klang, antaranya ialah Bukit Broga, Bukit Saga dan Bukit Gasing. Anak-anak juga boleh dibawa sekali ketika aktiviti mendaki. Mereka pasti teruja melihat pemandangan yang sangat cantik ketika matahari terbit pagi.
4. Berlari
Aktiviti berlari juga bagus diamalkan untuk mengekalkan kesihatan
anda. Antara kebaikan aktiviti berlari adalah dapat menguatkan otot,
mengurangkan berat badan serta menguatkan paru-paru. Malah aktiviti
berlari dapat memberikan anda tidur nyenyak. Kajian Northwestern
Medicine mendapati aktiviti berlari dapat menyembuhkan insomnia.Anda boleh melakukan aktiviti berlari di sekitar taman perumahan anda sendiri bersama keluarga. Sekali-sekala, anda juga boleh menyertai aktiviti larian seperti maraton yang sering dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
5. Menari
Banyak kebaikan yang boleh didapati daripada aktiviti menari.
Antaranya meningkatkan tenaga dan menguatkan jantung. Paling
istimewanya, menari dapat mengurangkan risiko depresi dan demensia atau
alzheimer seperti yang dinyatakan di dalam New England Journal of
Medicine.Bagaimanapun, tidak semestinya perlu mendaftar kelas tarian. Anda boleh lakukan aktiviti menari ini hanya di hadapan televisyen di dalam rumah. Contohnya, buka sahaja video Youtube berkenaan tarian zumba dan senaman aerobik, anda sudah boleh mulakan aktiviti menari bersama anak-anak di rumah.
6. Mengemas Rumah
Mengemas rumah adalah aktviti sihat yang wajib dilakukan oleh setiap
keluarga. Bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, aktiviti ini mendidik
kebijaksanaan dalam pengagihan tugas dan melatih anak-anak memikul
tanggungjawab.Banyak aktiviti dapat dilakukan setiap ahli keluarga.
Antaranya mengelap lantai, mencuci bilik air, membasuh kereta dan berkebun di halaman rumah. Apabila rumah bersih dan kemas, ahli rumah juga akan berasa tenang dan gembira.
Pada masa sama, kesihatan juga dapat dikekalkan dan ditingkatkan!
7. Membeli belah
Bunyinya sedikit kelakar. Membeli belah boleh menyihatkan?Jangan mudah membuat kesimpulan. Jangan terkejut. Membeli belah di pasar raya atau pusat membeli belah pada hujung minggu juga sejenis aktiviti sihat dengan syarat “poket anda memang sudah sedia sihat”.
Ini kerana aktiviti membeli belah akan menyebabkan anda terpaksa berjalan dan bergerak sekeliling bangunan pusat membeli belah. Walaupun nampak seperti aktiviti ringkas, berjalan kaki sangat bagus untuk kesihatan. Antara kebaikannya ialah mengurangkan risiko strok, diabetes dan membantu mengurangkan berat badan.
Pusat beli-belah boleh didapati di merata tempat. Pergilah, dan bawa keluarga anda pada hujung minggu. Aktiviti ini memang ideal untuk dilakukan pada setiap hujung minggu sambil bersantai bersama orang tersayang.
Bagi wanita, selain berjalan kaki, aktiviti membeli belah adalah satu daripada terapi minda. Tidak dapat belipun tidak mengapa, asalkan dapat ‘window shopping’. Semestinya, hanya wanita yang memahami perkara ini.
Tidak susah sebenarnya untuk kekal sihat. Ia sesuatu yang dapat diusahakan, terutama sekali pada hujung minggu.
Dan, paling penting, anda perlu melakukannya dalam keadaan tidak tertekan atau penat. Semua aktiviti yang disenaraikan di atas boleh dilakukan dalam keadaan santai dan bersahaja. Lakukan demi kesihatan fizikal dan kesejahteraan hidup.
Mudahnya Aafiyat.